Monday, February 25, 2008

Pola Kumunikasi Dalam Keluarga Murid-murid Bermasalah Pembelajaran

Pengenalan

Jurnal ini membincangkan tentang pola komunikasi hasil daripada kajian ke atas 264 keluarga yang mempunyai anak cacat dari kategori bermasalah pembelajaran di negeri Kelantan & Perak Kajian ini secara keseluruhannya mendapati yang sebahagian besar keluarga (61.1%) mempunyai komunikasi yang kurang memuaskan dengan anak-anak mereka.


Definisi

Menurut (Kirk et.al.1989), murid-murid bermasalah pembelajaran adalah satu istilah yang generik yang merujuk kepada sekumpulan kanak-kanak yang mempunyai pelbagai kecacatan. Manakala dalam konteks pendidikan di Malaysia pula, kanak-kanak yang cacat ringan dan sederhana digolongkan sebagai murid-murid bermasalah pelbagai. Namun menurut Ramli 1997 pula, di sekolah, kanak-kanak yang mengalami kecacatan seperti sindram down, hiperkinesis, hipokinesis, autistik, masalah pertuturan, ceberal palsy, epileptik, disleksia dan terencat akal di tahap ringan dan sederhana digolongkan sebagai murid-murid bermasalah pembelajaran.


Punca masalah

Kajian mendapati yang suasana kumunikasi atau perhubungan dalam keluarga murid ini adalah tidak memuaskan. Margalit & Almougy (1991) mendapati, ibu bapa keluarga ini bersikap tidak begitu membantu terhadap murid-murid bermasalah pembelajaran. Murid-murid seperti ini juga dikatakan menjadi mangsa kurang mendapat perhatian dan layanan yang buruk daripada ibu bapa mereka.
Faber (1975) pula mendapati, sebahagian besar ibu bapa dari status sosioekonomi yang rendah mempunyai masalah perhubungan dengan anak bermasalah pembelajaran. Kajian Mc Allister, Butler dan Lei (1978) pula mendapati, masalah perhubungan dalam keluarga banyak berlaku di kalangan ibu bapa yang bekerja.

Margalit dan Almougy (1991) mendapati yang ibu bapa dalam keluarga tersebut mempunyai peluang yang terbatas untuk bersosialisasi dan beriadah kerana dalam perasaan mereka tidak menerima akan kehadiran anak tersebut. Perkara ini turut menjejaskan hubungan kekeluargaan.

Furgeson (1987) mengkaji tentang komunikasi kelaurga yang melibatkan 51 remaja lelaki dan 52 remaja perempuan. Beliau mendapati bahawa wujud interaksi yang memuaskan antara ibu bapa dengan anak yang menunjukkan pencapaian yang baik di sekolah tetapi sebaliknya interaksi yang tidak memuaskan berlaku sekiranya anak seringkali menunjukkan pencapaian yang tidak baik di sekolah.

Dapatan kajian oleh Greeberg (1985), mendapati murid daripada saiz keluarga yang besar menunjukkan kesan yang kurang memuaskan terhadap perhubungan intelektual murid-murid. Ini kerana ibu bapa tidak dapat memberi layanan yang baik dan menganggap yang anak mereka sebagai seorang yang belum mencapai tahap kematangan.


Hasil kajian

Hasil kajian yang telah dijalankan di negeri Kelantan dan Perak ini telah menunjukkan bahawa persekitaran keluarga ada kaitan dengan komunikasi keluarga, pemboleh ubah etnik, dan komunikasi keluarga murid-murid bermasalah pembelajaran. Dari analisis ujian Scheffe mendapati, murid-murid bermasalah pembelajaran daripada etnik Cina dan India mempunyai komunikasi keluarga yang negatif atau kurang memuaskan jika dibandingkan dengan mereka yang berada dalam etnik Melayu.
Kajian juga menjelaskan bahawa keluarga murid-murid bermasalah pembelajaran daripada keluarga yang beragama Buddha dan Hindu mempunyai komunikasi keluarga yang negatif atau kurang memuaskan jika dibandingkan dengan keluarga yang beragama Islam dan Kristian.

Selain daripada itu, hasil kajian juga menjelaskan bahawa keluarga murid-murid ini yang mempunyai ibu bapa yang dewasa mempunyai komunikasi keluarga yang negatif atau yang kurang memuaskan jika dibandingkan dengan peringkat umur ibu bapa yang lain.

Walau bagaimanapun, suasana komunikasi keluarga berdasarkan status sosio ekonomi keluarga menunjukkan dapatan yang agak berbeza sedikit. Kajian ini menunjukkan tidak terdapat perbezaan skor min yang signifikan antara keluarga yang mempunyai status sosio ekonomi tinggi dengan keluarga yang mempunyai status sosio ekonomi sederhana dan rendah pada ukuran komunikasi keluarga.

Selain daripada itu, kajian ini juga telah menunjukkan bahawa murid-murid bermasalah pembelajaran dari saiz keluarga besar dan saiz keluarga sederhana mempunyai komunikasi keluarga yang negatif atau kurang memuaskan jika dibandingkan dengan mereka yang dari saiz keluarga kecil.

Dapatan kajian ini juga telah menjelaskan bahawa keluarga yang mempunyai anak yang cacat semasa peringkat bayi dan keluarga yang mempunyai anak yang cacat semasa akhir kanak-kanak mempunyai komunikasi keluarga yang negatif atau yang kurang memuaskan jika dibandingkan dengan mereka yang mempunyai anak yang cacat semasa awal kanak-kanak.





Kesimpulan

Sesungguhnya hasilan dan dapatan kajian ini telah dapat membantu program atau perkhidmatan yang sedia ada seperti kaunseling keluarga dan Program Latihan Ibu Bapa dilaksanakan di sekolah-sekolah untuk ibu bapa kanak-kanak ini. Adalah diakui bahawa komunikasi yang positif dalam keluarga dapat meningkatkan pencapaian anak-anak dalam pelajaran.